Wednesday, August 26, 2009

Mahasiswa dan Gerakan dalam Berdakwah

ADA kalangan menyalahkan idea dakwah ala `Harakatul Islamiyyah' sebagai antara punca kelembapan mahasiswa.
Sebagai kesan pemikiran begini, timbullah gejala konfrontasi, sloganisme dan sentimen yang merencatkan pertumbuhan
pemikiran yang dinamik, kreatif dan futuris. Sebenarnya, jika seseorang itu meneliti pemikiran yang dikemukakan oleh
tokoh-tokoh gerakan Islam terkemuka seperti As-syahid Hasan al-Banna, Maududi, Fathi Yakan, Dr Hassan Turabi,
Syed Qutb atau seumpamanya,..
mereka akan mendapati bahawa kelembapan gerakan mahasiswa Islam tidak berpunca dari situ bahkan kecemerlangan
mahasiswa dan gerakan mahasiswa Islam boleh bermula dari situ.
Sebenarnya gerakan Islam tidak pernah menyeru kepada konfrontasi secara membuta tuli atau bersikap sentimen tanpa
berpandukan akal yang rasional. Gerakan Islam adalah satu usaha ke arah pembaikan urusan ummah Islam (islah atau
tajdid), memperbetulkan segala yang bertentangan dengan kehendak Islam sama ada kesalahan itu terletak kepada
pemerintah atau ummah seluruh (nahi mungkar) dan menyeru ke arah Islam yang sebenarnya (amar makruf). Gerakan
Islam tidak bergerak di atas landasan nafsu, perasaan atau sentimen. Sesuai dengan prinsip Islam, gerakan Islam
berpandukan kepada pertimbangan akal yang rasional dengan al-Quran dan Sunnah sebagai parameter maksimum dan
minimum.
Jika berlaku apa yang dikatakan gejala konfrontasi, slogan dan sentimen dalam gerakan mahasiswa Islam, itu bukan
kesilapan pemikiran gerakan Islam tetapi adalah kesilapan mahasiswa itu sendiri yang gagal memahami dengan betul
gagasan gerakan Islam, atau kegagalan mereka untuk merealisasikan apa yang mereka pelajari daripada pemikiran
gerakan Islam. Inilah keadaan yang perlu diperbetulkan oleh mahasiswa Islam.
Pemikiran sesetengah mahasiswa Islam yang terkongkong dalam satu kerangka pemikiran tertentu yang dicerna
daripada pengalaman gerakan Islam luar adalah satu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Hasan al-Banna sendiri
menegaskan dalam bukunya, Usul Isyrin bahawa tidak ada satu pandanganpun yang bersifat mutlak melainkan yang
datangnya daripada Allah s.w.t dan Nabi-Nya Muhammad s.a.w. Setiap generasi berhak membina perundangan mereka
sendiri dengan berasaskan prinsip syariah yang jelas. Begitu juga kepelbagaian kawasan dan zaman membawa kepada
perbezaan tasawur perjuangan, agenda dan tindakan sebuah gerakan Islam.
Ini bermakna idea daripada gerakan Islam luar yang menyangkut soal strategi atau pendekatan dakwah hendaklah
terlebih dulu disaring oleh pendokong gerakan mahasiswa Islam sebelum digunakan dalam lingkungan masyarakat
Malaysia. Ini kerana mungkin pendekatan yang dikemukakan oleh mereka relevan dengan situasi negara mereka, tetapi
tidak di Malaysia.
Tanggungjawab dakwah menuntut mahasiswa Islam meneliti dan menganalisis suasana sekitar mereka dan
mengemukakan alternatif yang lebih baik kepada masyarakat. Jeritan slogan, konfrontasi atau demonstrasi semata-mata
tidak akan memberikan input yang bermakna kepada masyarakat. Dalam konteks kebangkitan Islam di Malaysia
sekarang, ia sedang berada dalam zaman pembinaan peradaban Islam itu sendiri bukan dalam era `runtuh-meruntuh'.
Apa yang diperlukan ketika ini ialah sumbangan mahasiswa Islam yang lebih bermakna dalam pembinaan masyarakat
Islam. Mahasiswa Islam mestilah menyedari arus perdana dalam masyarakat dan negara sekarang, bukannya
terperangkap dalam kota pemikiran yang mereka sendiri membinanya.
Dalam banyak perkara yang membabitkan pembinaan masyarakat dan negara, suara mahasiswa Islam tidak
kedengaran. Apa pandangan mahasiswa Islam dalam soal masyarakat Malaysia, Melayu baru, bahasa dan
seumpamanya seolah-seokah tidak kedengaran. Mahasiswa Islam bagaikan terpinggir daripada arus perdana, dan
hanya mampu berteriak dalam universiti dalam soal yang sudah berlalu.
Perkara utama yang sebenarnya menyumbang ke arah kelembapan mahasiswa dan gerakan mahasiswa ialah
kurangnya penguasaan ilmu dan pemikiran kreatif. Apa yang diketahui oleh kebanyakan mahasiswa ialah apa yang
mereka pelajari secara khusus dalam bidang pengajian mereka, itupun tidak secara menyeluruh. Yang lebih dikejar oleh
mahasiswa ialah mendapatkan sijil yang baik yang akan memberikan mereka peluang pekerjaan lebih baik.
Soal ilmu adalah soal kedua yang boleh dikesampingkan berbanding kepentingan sijil. Oleh kerana itu, penghayatan
budaya ilmu di kalangan mahasiswa amat kurang sekali. Ini dipengaruhi pula oleh keadaan sekarang yang terlalu
menekankan kepada aspek pencapaian luaran yang melupakan soal pembudayaan ilmu itu sendiri. Bagi seorang
mahasiswa matlamat mereka datang ke universiti ialah sekadar memenuhi harapan untuk mendapatkan kedudukan
yang lebih baik dalam masyarakat. Di samping itu, dalam masyarakat kampus sekarang mahasiswa tidak dididik untuk
menyintai ilmu dan berfikiran kreatif.
Begitu juga dengan mahasiswa yang membabitkan diri dalam gerakan Islam yang juga gagal membudayakan tradisi ilmu
dalam diri mereka ataupun dalam gerakan mereka. Bukan saja mereka kurang membaca buku-buku di luar daripada
bidang pengajian mereka bahkan mereka juga kurang menelaah pemikiran-pemikiran dalam gerakan Islam itu sendiri,
baik yang bersifat tradisional ataupun moden. Mereka hanya bergantung kepada apa yang diberikan oleh abang-abang
atau kakak-kakak usrah mereka tanpa perlu menimbang sama ada yang dikemukakan kepada mereka itu benar-benar
bersesuaian dengan situasi mereka atau tidak. Bagaimana mahasiswa Islam boleh memberikan sumbangan yang
bermakna kepada ummah Islam sekiranya mereka sendiri tidak memahami dengan jelas apa yang mereka perjuangkan.
Ada di kalangan mahasiswa yang membabitkan diri dalam gerakan Islam yang gagal memberikan alasan yang kukuh
mengapa mereka membabitkan diri dengan satu-satu gerakan Islam sebagai wadah perjuangan mereka melainkan
kerana itulah gerakan Islam yang dipilih oleh kakak-kakak atau abang-abang mereka yang terdahulu. Sedangkan salah
satu daripada konsep utama dalam gerakan Islam ialah perlunya kefahaman mengenai hujah dan dalil mengapa sesuatu
sikap itu diambil.

Mustafa Masyhur, salah seorang pimpinan al-Ikhwanul Muslimun di Mesir, dalam bukunya al-Qudwah ala tariq addakwah
menyebutkan ciri-ciri mahasiswa Islam contoh. Antaranya:
* Mahasiswa Islam hendaklah memperbetulkan niat. Kebanyakan mahasiswa Islam belajar hanya sekadar untuk
mendapat segulung ijazah. Tetapi yang dikehendaki sebenarnya supaya ia belajar untuk memberikan sumbangan
terhadap Islam, umat Islam, menegakkan negara Islam serta mengisi ruang pengkhususan yang diperlukan oleh jemaah
Islam.
* Mahasiswa Islam hendaklah membetulkan pandangannya terhadap pelajaran dan ia bukan semata-mata penguasaan
akal mengenai maklumat yang perlu dipenuhkan di dalam otak untuk menjawab peperiksaan akhir tahun, tetapi yang
dikehendaki ialah dapat menyediakan peribadi terpelajar yang membina ilmunya.
* Mahasiswa Islam contoh hendaklah membiasakan diri dengan kebersihan dimulai dengan pembersihan dalaman,
pembersihan hati dan dendam dan hasad, pemarah dan takbur, terpedaya dan setiap yang dimurkai oleh Allah.
* Mahasiswa Muslim contoh hendaklah berusaha menguasai pelajarannya dan mencapai keputusan yang baik dalam
peperiksaan, mengatasi pelajar yang lain.

Artikel ini diambil :
http://www.disertasi.blogspot.com/
Usrah Wave Corporation

No comments:

Post a Comment