Wednesday, September 9, 2009

Realiti Ekonomi Islam, suatu muhasabah buat umat islam

Bertolak daripada pembangunan ummah sebagai dasar pembangunan, Islam membangunkan perkara-perkara yang meliputi kehidupan ummah secara menyeluruh yang termasuk antara lain bidang-bidang penyelidikan, ekonomi, pentadbiran, politik, kebudayaan, sosial dan sebagainya.
Dalam proses pembangunan kehidupan dan penghidupan ummah ini, Islam bukan sahaja lengkap dengan teori pembangunannya, sejarah pembangunannya dan cara pelaksanaan pembangunannya tetapi Islam juga lengkap dengan teori dan sejarah ummah yang menjadi dasar dalam pembangunannya kerana Islam menegaskan bahawa tanpa mengenal `diri ummah' itu sendiri maka pembangunan ummah tidak akan mencapai matlamatnya.
Malah dalam soal mengenal ummah ini Islam menjelaskan juga siapa pengawas ummah dan siapa pula pengganggu ummah itu. Aspek-aspek ini diterangkan oleh Islam secara terperinci supaya kita benar-benar mengenal diri kita sebagai individu, anggota keluarga, anggota masyarakat dan anggota ummah yang lebih luas agar dapatlah proses pembangunan ummah ini dilaksanakan dengan penuh keyakinan.
Persoalan pokok dalam pembangunan Islam ialah manusia dengan segala kemaslahatannya. Hal ini mencakupi bidang yang amat luas; tersimpul dalam kewujudan dan peranan manusia itu sendiri sebagai hamba dan khalifah Allah.
Kalau manusia dibangunkan dengan proses yang betul dan memilih setiap urusan hidupnya yang diredhai Allah, maka manusia itu berhak menerima ganjaran daripada Allah dan terbukalah jalan untuknya menuju ke arah peningkatan ke tahap muhsin, mukmin dan muttaqi. Sebaliknya, kalau manusia dibangunkan dengan proses yang salah, maka tergolonglah manusia itu dalam tahap zalim, fasik, munafik dan kafir.
Jelas, Islam membangunkan insan yang berada di dalam ummah terlebih dahulu sebelum pembangunan urusan ummah yang lain seperti pembangunan ekonomi, pembangunan kebudayaan, pembangunan pentadbiran, pembangunan politik dan serba yang lain dalam aktiviti hidup manusia.
Proses pembangunan insan seumpama ini telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sewaktu tiga belas tahun di Mekah dalam proses pembangunan ummah dan sepuluh tahun di Madinah dalam proses membangunkan urusan ummah yang lain.
Hal ini amat jauh bezanya dengan proses pembangunan mengikut sistem liberal; baik sistem kapitalis mahupun sistem sosialis dan lain-lain yang tidak Islamik. Dalam sistem-sistem ini pembangunan bertolak terus dari pembangunan urusan keperluan duniawi manusia semata-mata. Akibatnya banyaklah yang menimbulkan keadaan kucar-kacir dan tidak seimbang dalam perkembangan hidup manusia.
Sistem-sistem pembangunan ini menafikan kepentingan agama dalam proses pembangunannya; malah kalau mengikut beberapa teori dan falsafah tokoh-tokoh tertentu, agama adalah penghalang besar dalam sebarang proses pemodenan dan pembangunan.
Di tanah air kita ini pembangunan dalam banyak aspek amatlah pesat. Meskipun kita bercita-cita dan telah berusaha lebih dua puluh tahun untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam semua aspek pembangunan namun pada dasarnya kita masih gagal mencapai cita-cita tersebut. Hal ini mungkin disebabkan kita masih mengutamakan pembangunan urusan duniawi daripada pembangunan dalam diri manusia itu sendiri.
Kita cuba membangunkan ekonomi Islam tanpa terlebih dahulu membangunkan ahli ekonomi supaya mengenal diri sebagai seorang Muslim dalam erti kata yang sebenarnya.
Kita cuba membangunkan pentadbiran cara Islam tanpa terlebih dahulu membangunkan hati pentadbir-pentadbir itu supaya benar-benar mengenal dirinya dan takut kepada Allah.
Masih ramai di kalangan kita yang tidak mengenali asal usul, kedudukan, fitrah, kemampuan, martabat, fungsi, halal dan haram, serta nasib kita mengikut Islam. Oleh sebab tidak kenallah, maka kita masih tidak cintakan Islam. Masih ramai yang tidak takut kepada Allah.
Akibatnya seiring dengan pembangunan keperluan manusia yang diredhai oleh Allah, kita juga melahirkan manusia yang dimurkai oleh Allah. Umpamanya di samping kita cuba menghapuskan rasuah, kegiatan rasuah terus meningkat, dan begitu juga jumlah peningkatan penagih dadah berada pada tahap yang membimbangkan.
Kita memperhebatkan pembangunan manusia tetapi selari dengan itu secara tidak langsung kita memperhebatkan juga sifat-sifat keji di kalangan kita seperti sering menodai suruhan Allah, pendendam, iri hati, pendengki, penipu, gemar pujian, suka memberi kenyataan-kenyataan kosong, cinta dunia secara berlebihan.
Kita cuba mengamalkan konsep cekap, bersih dan amanah tetapi oleh kerana masih terdapat segolongan kita yang masih belum takut kepada Allah, maka matlamat kita masih belum tercapai. Demikianlah persoalan pembangunan ummah yang penting untuk dijadikan dasar dalam pembangunan yang lain.

No comments:

Post a Comment